SIVASANGARI semakin menyengat.
Iskandar Shah Mohamed


JAGUH skuasy wanita kebangsaan, S Sivasangari membuktikan dia semakin berbisa apabila terus melonjakkan kedudukannya di ranking dunia. 

Juara kebangsaan dari Kedah itu kini berada di ranking ke-32 selepas beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan berprestij antarabangsa sejak dua bulan lalu.  

Sivasangari yang melonjak 10 anak tangga berbanding ke-42 sebelum ini menundukkan beberapa pemain ternama di ranking lebih tinggi termasuk kelompok 10 terbaik dunia.  Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), S Maniam mengakui berpuas hati dengan prestasi dan kecemerlangan pemain berusia 20 tahun itu setakat ini.   "Pencapaian itu menunjukkan dia berada di landasan tepat untuk meningkatkan kedudukannya di ranking dunia.  Semua pemain dan jurulatih akan bekerja keras untuk terus ke hadapan menerusi rutin latihan serta penyertaan dalam pelbagai kejohanan," katanya kepada Arena Metro. 

Maniam yang kini berada di Filipina bersama atlet Sukan Sea bimbingannya turut gembira dengan prestasi positif pemain lain seperti Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan Yee Xin Ying.   Berdasarkan ranking terkini Persatuan Skuasy Profesional (PSA), pemain berpengalaman negara, Low Wee Wern kekal di kedudukan 24 dunia, manakala Eain Yow (31) dan Rachel (43).  

Pada Kejohanan Wanita Dunia di Mesir Oktober lalu, Sivasangari melakar kejutan ke atas pemain kelapan dunia dari Amerika Syarikat, Amanda Sobhy dan pemain ranking ke-29, Milou Van Der Heijden dari Belanda. 

Aksi cemerlang turut dipamerkannya pada Terbuka Amerika Syarikat apabila menundukkan pemain pilihan kejohanan yang menduduki ranking ke-13 dunia, Alison Waters dari England.  Biarpun terkandas ke peringkat suku akhir kedua-dua kejohanan itu tetapi kejayaan dan pencapaian positif Sivasangari sudah memadai untuk memperbaiki rankingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 11:53 PM