PELUMBA F1, Lewis Hamilton ketika majlis penyerahan Piala Kejuaraan perlumbaan F1 kali ke enam di perkarangan Dewan Filharmonik, Menara Berkembar Petronas, KLCC. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Reuters

JUARA dunia enam kali Lewis Hamilton menjulang trofi juara Formula Satu hari ini ketika mendiang bekas bosnya Niki Lauda dipilih sebagai personaliti tahunan dalam majlis anugerah FIA.

Pelumba Austria Lauda, yang juga juara dunia tiga kali dan antara pelumba terbaik sepanjang zaman selain pengerusi bukan eskekutif pasukan Mercedes, meninggal dunia pada Mei susulan pemindahan paru-paru Ogos tahun lalu.

Anugerah itu diberikan hasil undian media menerusi pelbagai kejohanan Persekutuan Automobil Antarabangsa.

Turut menerima pengiktirafan adalah mendiang pengarah perlumbaan Charlie Whiting, yang meninggal dunia sebelum perlumbaan pembuka tirai di Australia dan pelumba F2 dari Perancis Anthoine Hubert yang maut ketika Grand Prix Belgium Julai lalu.

Hamilton adalah yang terakhir menerima anugerah itu tetapi trofi itu bagaikan sesuatu yang lazim baginya, memandangkan ia hanya diberikan kepada pelumba lain sekali dalam tempoh enam tahun iaitu kepada bekas rakan sepasukan Nico Rosberg yang menang pada 2016.

Muncul di pentas dengan sut biru langit dan tali leher hitam dalam acara di Carrousel du Louvre, pelumba berusia 34 tahun itu berkata ia mungkin musim terbaik dalam hidupnya tetapi mengharapkan yang lebih baik pada 2020.

Pelumba Britain itu sebelum itu bagaimanapun memberitahu wartawan, dia tidak begitu menggemari acara seperti itu.

“Saya sepatutnya bergembira dalam percutian dan ia boleh dihantar kepada saya. Saya tidak bekerja sepanjang tahun untuk majlis penganugerahan seperti ini,” katanya.

Hamilton berkata bagaimanapun dia gembira melihat yang lain meraikan kejayaan mereka dan terinspirasi daripada klip video pencapaian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 9:03 AM