Syed Saddiq (dua kanan) turut memberikan semangat kepada atlet negara yang bersaing di Sukan Sea Filipina. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari solusi terbaik bagi mengatasi pencapaian buruk skuad bawah 22 (B-22) tahun negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan Sukan Sea kali ini.

Menurut Syed Saddiq, pihaknya akan meneliti laporan bedah siasat yang akan diserahkan oleh FAM kepada pihaknya sebaik berakhir temasya dwitahunan ini.

Katanya, laporan berkenaan penting bagi mencari punca prestasi longlai anak buah Datuk Ong Kim Swee yang sekadar merakam satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam empat aksi.

"Saya rasa perkara paling penting adalah untuk menunggu 'post mortem' menyeluruh yang akan kita dapat dan kita akan lihat bagaimana kita ingin memastikan bahawa perkara sebegini takkan berulang lagi dan prestasi dapat ditambah baik.

"Buat masa ini, kita bagi masa kepada FAM dan pemain bola sepak kita berehat, dan paling mustahak daripada peringkat kita untuk memastikan 'post mortem' menyeluruh itu dapat kita buat secepat mungkin," katanya ketika ditemui Manila hari ini.

Skuad bola sepak yang hadir ke Filipina atas tiket kategori 'A' yang ditampung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) gagal mencapai sasaran untuk layak ke pentas final kali ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:24 PM