GAYA Rashford meraikan jaringan pertama United di Stadium Etihad. FOTO Reuters
Reuters

HARAPAN Manchester City mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris semakin terjejas selepas tewas 1-2 kepada Manchester United di tempat sendiri, awal pagi tadi sekali gus skuad Pep Guardiola ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liverpool.

Jaringan Marcus Rashford (penalti) dan Anthony Martial meletakkan skuad Ole Gunnar Solskjaer 2-0 di hadapan sebelum rehat dan City hanya mampu mengurangkan defisit pada minit ke-85 menerusi Nicolas Otamendi.

Kekalahan City itu yang keempat musim ini dan 32 mata diraih paling buruk buat Guardiola dalam kariernya sebagai pengurus selepas 16 perlawanan.

"Kami perlu terus mencuba, banyak perkara perlu diberi perhatian. Kami dalam situasi sukar kerana lawan berada dalam kemuncak prestasi dengan 15 kemenangan daripada 16 perlawanan,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

“Tidak kira enam, lapan atau 14 mata, kami perlu terus mencuba. Kami pasukan fantastik.”

Bagi United, melonjak ke tangga kelima dan lapan mata di belakang City adalah kejayaan terbesar buat pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dan melengkapkan minggu hebat selepas menewaskan skuad Jose Mourinho, Tottenham pada Rabu lalu.

"Kami pasti mengingati aksi ini, kami tampak lebih bahaya apabila mendapat bola dan terus menyerang ke atas pasukan terbaik dunia,” kata pengendali dari Norway.

United kerap mengancam kubu City menerusi serangan balas pantas dan gandingan

Daniel James dan Martial menguji ketangkasan penjaga gol City, Ederson sebelum Rashford membuka tirai jaringan menerusi penalti.

Reviu VAR mengesahkan Bernardo Silva menjatuhkan Rashford dalam kotak penalti dan penyerang United itu tenang menyempurnakannya pada minit ke-23.

Rashford terlepas peluang terbaik menggandakan jaringan apabila rembatan dari luar kotak penalti terkena palang tetapi jaringan kedua menyusul enam minit kemudian menerusi rembatan leret Martial selepas bertukar hantaran dengan James.

Skuad Guardiola bangkit pada babak kedua dengan mendominasi permainan tetapi gagal menembusi gawang United yang dikawal hebat penjaga gol Sepanyol, David De Gea.

Lima minit sebelum tamat permainan, Otamendi menanduk masuk hantaran sepakan sudut Riyad Mahrez namun sudah terlambat dengan keputusan memihak United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 7:21 AM