MESSI mempamerkan trofi Ballon d'Or sebelum bermula aksi menentang Mallorca d Camp Nou. FOTO AFP
Reuters

LIONEL Messi meraikan anugerah keenam Ballon D'Or menerusi jaringan hatrik ketika membantu Barcelona kembali ke puncak La Liga selepas menang 5-2 ke atas Real Mallorca, awal pagi tadi.

Real Madrid tiga mata di hadapan selepas menewaskan Espanyol dalam perlawanan awal tetapi skuad Ernesto Valverde mempamerkan prestasi terbaik dengan membelasah Mallorca di Camp Nou.

Antoine Griezmann membuka tirai jaringan menerusi larian pantas, Messi dua kali melencongkan bola dan kuisan ke belakang Luis Suarez melengkapkan kemenangan Barcelona.

Ante Budimir menjaringkan gol pertama Mallorca pada babak pertama dan menanduk masuk gol keduanya pada babak kedua tetapi rembatan Messi pada lewat permainan melengkapkan hatriknya sekali gus kemenangan gemilang Catalan.

MESSI diraikan rakan sepasukan. FOTO Reuters

"Setiap perlawanan kami bertambah bagus,” kata Griezmann merujuk kepada gandingannya di bahagian serangan. “Hari ini malam istimewa buat Leo dan kami mahu perlawanan yang bagus untuknya.

"Saya gembira dapat membantu kemenangan ini. Amat penting untuk menang dan beraksi dengan baik selain babak pertama juga amat bagus.”

Messi mempamerkan trofi bola emas keenamnya kepada penyokong sebelum memperagakan prestasi sebenar yang menepati status mengapa dia dianggap pemain terbaik di atas planet.

Jaringan ketiganya pada minit ke-83 melengkapkan rekod hatrik ke-35 dalam La Liga yang juga gol ke-12 Messi musim ini sekali gus penjaring terbanyak setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 8:29 AM