AKSI Heung-min menewaskan penjaga gol Burnley untuk gol ketiga Spurs di Stadium Tottenham Hotspur. FOTO Reuters
Reuters

DALAM masa 12 saat, 12 sentuhan dan kawalan jarak 73 meter, Son Heung-min meledak jaringan yang dianggap gol terbaik Liga Perdana untuk Tottenham Hotspur musim ini, semalam.

Jaringan Heung-min pada minit ke-32 membayangi dua gol Harry Kane ketika membelasah Burnley 5-0 sekali gus mengundang pujian rakan sepasukan dan pengurus.

Selepas mendapat bola dalam kawasan sendiri, Pemain Terbaik Tahunan Asia itu membuat larian kencang mengatasi kawalan beberapa pemain lawan sebelum menewaskan penjaga gol lawan untuk gol ketiga Tottenham.

Bagaimanapun, Heung-min yang lebih suka merendah diri berkata, dia hanya meneruskan larian kencang selepas gagal menjumpai Dele Alli.

"Apabila mendapat bola saya cuba menghantar kepada Dele tetapi saya tak menjumpainya jadi saya terus memegang bola dan saya gembira dapat menjaringkan gol ketiga,” katanya.

Kane mengakui Heung-min berhak mendapat sanjungan di atas usaha hebatnya itu.

"Sonny mencuri tumpuan hari ini. Gol mengagumkan hasil serangan balas pantas,” kata kapten England itu.

"Apa yang dilakukan ialah hasil kerja keras dan beraksi untuk pasukan. Dia mempunyai kualiti yang hebat.”

Manakala pengurus, Jose Mourinho membandingkan jaringan Heung-min dengan penyerang Brazil, Ronaldo ketika bersama Barcelona.

"Saya ingat ketika saya di Barcelona bersama (Bobby) Robson dan Ronaldo menjaringkan gol sama seperti dilakukan Son,” katanya.

"Dan ini jaringan hebat. Saya tahu lariannya akan sampai ke penjaga gol selepas kawalannya tidak dapat disekat. Penjaga gol lawan juga bagus tetapi Son masih mampu menewaskannya.”

PenyerangTottenham dan England, Gary Lineker berkata dalam Twitter: "Wow. Son telah menjaringkan salah satu gol individu paling hebat anda saksikan. Jaringan terhebat musim ini, saya rasa.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:51 AM