Mintah (kanan) bersama Roshadi. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


TERENGGANU FC II (TFC II) sah mengikat penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah bagi memperkuatkan skuad itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Kemasukan bekas pemain kelab Kaya FC dalam Liga Filipina berusia 24 tahun itu melengkapkan kuota empat pemain import skuad The Turtles musim depan.

Menerusi kenyataan media Terengganu FC (TFC) hari ini, bekas penjaring terbanyak Liga Filipina musim ini terbabit diikat selama setahun oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.

"TFC mengumumkan menandatangani kontrak pemain import baharu iaitu Jordan Mintah untuk bersama pasukan TFC II musim depan.

"Mintah berasal dari Ghana bermain di posisi serangan menandatangani kontrak selama setahun bersama TFC II bagi musim Liga Perdana 2020," katanya.

Ketua jurulatih TFC II, Roshadi Wahab berkata, pemain berkenaan memiliki rekod cemerlang selain muncul penjaring terbanyak Liga Filipina musim ini dan 2017.

"Dengan kehadiran pemain import itu bermakna kuota pemain import skuad TFC II sudah selesai termasuk kuota pemain tempatan.

Selain itu, TFC II turut mengikat bekas pertahanan import skuad PDRM, Argzim Redzovic bagi memperkukuhkan benteng selepas pemain kelahiran Ukraine, Serhii Andrieive tidak disambung kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 2:51 PM