Alex lega kontrak bersama Kedah dilanjutkan. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Rafi Mamat


BEKAS penyerang lincah kebangsaan Azamuddin Mohd Akil memberi jaminan untuk mempamerkan persembahan terbaik pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bagi membalas kepercayaan yang diberikan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Selepas berjaya membantu skuad Lang Merah merangkul kejuaraan Piala FA musim ini kontrak pemain profesional kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu dilanjutkan bagi musim depan.

"Saya mengucapkan terima kasih pada pengurusan KFA yang menawarkan kontrak baru bagi musim depan, tawaran itu begitu bermakna buat saya bagi meneruskan kerjaya dalam sukan bola sepak tempatan.

"Berusaha mempamerkan persembahan terbaik janji yang dapat saya berikan kepada KFA yang turut menyenaraikan ramai pemain terbaik musim depan dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan," katanya di Kuantan, hari ini.

Azamuddin yang lebih terkenal dengan panggilan Alex berkata, bukan mudah untuk dia berada dalam skuad utama Kedah musim depan namun dengan pengalaman yang ada usaha memikat hati jurulatih akan dilakukan dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, dia perlu bersaing dengan ramai pemain muda Kedah yang tidak kurang hebatnya, mereka memiliki kebolehan, kesungguhan serta semangat juang tinggi yang mampu memikat hati jurulatih.

"Selepas semusim bersama skuad Lang Merah saya amat berpuas hati terutama apabila berjaya membantu pasukan jelapang padi itu menjulang kejuaraan Piala FA mengatasi Perak 1-0 pada final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 4:00 PM