Hup Wei meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi lelaki. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila meraih pingat emas dengan ketinggian 2.21 meter (m).

Hup Wei menewaskan rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa yang turut mencapai ketinggian sama tetapi Hup Wei dinobat selaku pemenang selepas melakukan ketinggian itu terlebih dulu.

Ia adalah emas yang keempat dimenangi Hup Wei sepanjang beraksi di Sukan Sea sejak kali terakhir pada 2011 di Indonesia.

"Yang paling penting untuk saya dan Nauraj ialah kami berjaya mempertahankan kemenangan satu dua.

"Saya sangat penat dan Sukan Sea ini adalah pertandingan terakhir saya pada musim ini," katanya.

Nauraj selaku pemenang dua tahun lalu terpaksa berpuas hati dengan perak manakala Tawan Kaeodam dari Thailand gangsa dengan ketinggian 2.15m.

Sementara itu, Grace Wong gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu menerusi acara baling tukul besi wanita apabila memperoleh perak. Grace melakukan balingan terbaik 55.82m, jauh dari rekod kebangsaan miliknya 60.99m.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 9:08 PM