Aksi Izzah Amzan dalam disiplin bola acara Individu Akhir Gimrama Sukan Sea Filipina kelmarin. FOTO Osman Adnan
BERNAMA

BIARPUN mengakui berdepan laluan sukar yang hampir mustahil untuk ditempuhi dalam mendapatkan slot ke Sukan Olimpik 2020, namun ia tidak mematahkan semangat gimnas negara Izzah Amzan untuk mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan kelayakan di Kejohanan Asia tahun depan.

Atlet gimnastik berirama berusia 19 tahun itu berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran khusus untuk Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun pada Mei depan.

"Tiada sasaran untuk Kejohanan Asia nanti kerana kami tidak tahu peraturan yang ditetapkan lagi. Lagi pun hampir mustahil untuk memperoleh slot ke Sukan Olimpik kerana hanya juara akan mendapat peluang.

"Secara peribadinya, saya hanya mahu perbaiki ranking dan skor saya. Walaupun tahu peluang saya sukar tapi itu tidak mematahkan semangat saya, ia memberi motivasi kepada saya kerana kita tidak tahu apa akan jadi.

"Gimnas hanya perlu pastikan mereka pamerkan aksi terbaik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini selepas pulang ke tanah air dari Sukan Sea Filipina.

Pada aksi di temasya terbesar Asia Tenggara itu, Izzah meraih dua pingat emas dalam acara reben dan bola serta pingat perak dalam acara gelung.

Katanya selain Kejohanan Asia, beliau dan pasukannya akan turut mengambil bahagian dalam siri Piala Dunia yang akan membuka tirai pada April depan.

Mengulas mengenai kejayaan ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abd Hadi yang menjadi gimnas pertama negara meraih slot ke Sukan Olimpik, Izzah mengakui beliau dan rakan-rakannya menjadikan Farah Ann sebagai idola dan penanda aras walaupun berbeza jenis sukan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 9:39 PM