Jadon Sancho meraikan jaringan berdepan Fortuna Dusseldorf. FOTO AFP
Agensi

JADON Sancho menjaringkan dua gol ketika Borussia Dortmund membelasah Fortuna Dusseldorf, 5-0 sekali gus menjadikannya pemain remaja keempat yang menjaringkan 20 gol dalam Bundesliga Jerman.

Pemain kebangsaan England berusia 19 tahun yang dinafikan gol awal oleh VAR menebus kekecewaan dengan gol pertama selepas melakukan hantaran satu dua bersama Marco Reus.

Sancho meledak gol kedua selepas menerima umpanan Achraf Hakimi susulan serangan pantas.

Reus turut menjaringkan dua gol buat Dortmund dengan Thorgan Hazard turut berada dalam senarai penjaring gol pasukan.

Pemain yang menjaringkan 20 gol Bundesliga ketika masih remaja adalah penyerang Bayer Leverkusen, Kai Havertz (24) - yang kini sudah berusia 20 tahun - dan pemain yang sudah lama bersara, Horst Koppel (24) dan Olaf Thon (20).

Dortmund yang memakai jersi hitam khas untuk meraikan ulang tahun ke 110 pada aksi itu- melonjak ke tangga ketiga carta, dua mata di depan pasukan juara bertahan Bayern Munich di tempat ke tujuh sementara Fortuna Dusseldorf terjunam dalam kelompok penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:09 PM