Keane puji aksi United. FOTO File Agensi
Reuters

BEKAS kapten Manchester United, Roy Keane berkata kemenangan 2-1 kelab itu ke atas juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City pagi ini akan memberikan keyakinan yang sangat diperlukan untuk memperbaiki aksi tidak konsisten pasukan itu musim ini.

Kemenangan ke atas musuh setempat di City disusuli selepas kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur yang dikendalikan bekas bos mereka Jose Mourinho pada Rabu, membolehkan United melonjak ke kedudukan ke lima carta selepas 16 perlawanan dan mengurangkan sedikit tekanan terhadap pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

“Saya tidak melihat perkara ini akan berlaku. Ia sangat hebat - persembahan yang lebih baik bagi United. Banyak keberanian dan personaliti. Mereka agak cemerlang.” kata Keane.

“Saya tidak fikir menewaskan Tottenham adalah sesuatu yang besar di gelanggang sendiri, namun kemenangan (ke atas City) memberikan pemain lebih keyakinan selepas di kritik hebat - tiada siapa yang suka di kritik.

“Saya sangat seronok melihat aksi mereka, ia adalah segalanya mengenai United. Tapi pokok pangkalnya perlu konsisten, minggu ke minggu. Diharapkan pemain muda ini akan terus mempamerkan aksi cemerlang.”

Bekas rakan sepasukan Keane dan rakan penganalisis Gary Neville membayangkan dua kemenangan penting itu memberi petanda usaha Solskjaer masih perlu melakukan perubahan dalam memperkuatkan pasukan dan menggesa kelab itu untuk mendapatkan pemain berpengalaman pada jendela perpindahan pemain Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:30 PM