Ahmad Afif (kanan) bersaing pada perlumbaan Pusingan akhir Cub Prix Petronas kelas CP150 di Litar Antarabangsa Sepang.
Iskandar Shah Mohamed


PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, 24, mengakui berdepan saingan lebih sengit untuk mempertahankan gelaran kelas perdana CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini.

Menurutnya, ia berikutan faktor perubahan peraturan motosikal selain cabaran daripada beberapa pelumba berpengalaman.

"Jika dibandingkan dengan musim lalu, persaingan kali ini agak sengit kerana ada pelumba seperti Kasma (Daniel Kasmayudin).

"Selain itu, perubahan berkaitan peraturan motosikal memberi saingan lebih mencabar dalam setiap perlumbaan sekali gus menuntut kami  memberi komitmen sepenuhnya," katanya.

Ahmad Afif bersama trofi yang dimenangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Afif sah mempertahankan gelaran selaku 'Raja Litar' bagi kategori CP150 selepas berakhir pusingan ke-9 di Jempol, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Pada aksi penutup tirai di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, dia berada di tempat kedua namun muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 167 mata. 

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar meraih kemenangan dengan catatan masa 14 minit 33.350 saat manakala pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, MD Muzakkir Mohamed di tempat ketiga (14:33.517s). 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:51 PM