HERNANDEZ meraikan jaringannya di Bologna. FOTO Agensi
Reuters

AC Milan mempamerkan prestasi terbaik mereka musim ini apabila menewaskan Bologna 3-2 di tempat lawan dalam aksi dramatik Serie A, awal pagi tadi.

Kemenangan itu yang pertama menyaksikan Milan menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan dan turut kali pertama mereka menang dua kali berturut-turut sejak Stefano Pioli mengambil alih tugas pada Oktober lalu.

"Ia perlawanan menarik daripada kedua-dua pasukan,” kata Pioli. "Kami mendapat keputusan diinginkan hasil kualiti ditunjukkan. Jika kami dapat beraksi bersama kami boleh melakukan dengan lebih baik.”

Milan melonjak ke tangga ke-10 dengan 20 mata di belakang Torino berdasarkan perbezaan gol walaupun masih sembilan mata di bawah slot kelayakan Liga Juara-Juara.

Bologna yang jurulatihnya, Sinisa Mihajlovic kini menjalani rawatan akibat leukimia di tangga ke-12 dengan 16 mata.

Milan terlebih dahulu di depan pada minit ke-15 apabila Krzysztof Piatek dikasari dan dia tenang menjaringkan gol sekali gus mengakhiri kemarau jaringan dalam enam perlawanan.

Suso bijak menghantar bola kepada Hernandez yang menjaringkan gol kedua pada minit ke-32 walaupun pemain Perancis itu menjaringkan gol sendiri lima minit sebelum rehat apabila bola sepakan sudut lawan terkena badannya sebelum menerjah jaring.

Giacomo Bonaventura melebarkan kedudukan buat Milan menerusi rembatan lencung selepas rehat namun Bologna yang terus mengasak berjaya mendapat penalti disempurnakan Nicola Sansone selepas Riccardo Orsolini dijatuhkan ketika permainan berbaki enam minit.

Jaringan Hernandez itu yang keempatnya musim ini dan berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak musim ini di samping Piatek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:24 AM