LOVREN cedera ketika menentang Bournemouth. FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL berdepan penyingkiran memalukan jika tewas kepada juara Austria, Salzburg di tempat lawan dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Skuad Jurgen Klopp sudah biasa dengan situasi sukar di peringkat kumpulan. Dua musim berturut-turut sebelum ini mereka wajib menang aksi terakhir di tempat sendiri untuk mengesahkan tempat ke saingan 16 terakhir sebelum mara ke final.

Bagaimanapun, lawan mereka kali kini berada dalam prestasi terbaik dengan diketuai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara, Erlin Braut Haaland yang mampu meresahkan barisan pertahanan Liverpool yang kerap bocor di sebalik kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana.

Gawang The Reds kebal kali pertama dalam 14 perlawanan ketika menang 3-0 di Bournemouth semalam namun kehilangan pertahanan tengah, Dejan Lovren yang cedera pada babak pertama.

Sekiranya pemain Croatia itu tidak ke Austria, Joe Gomez menjadi pemain tunggal Klopp yang cergas bergandingan dengan Virgil van Dijk di pertahanan tengah.

Van Dijk juga dilihat tidak berupaya menyekat gol dilepaskan pasukannya sejak beberapa bulan lalu.

Kecederaan bermakna akan adanya penggiliran berterusan antara Lovren, Gomez dan Joel Matip bersama Van Dijk, manakala sokongan pertahanan terhadap serangan akan diketuai Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold menyebabkan ada ruang boleh digunakan lawan untuk menyerang.

Penjaga gol, Alisson Becker juga terlepas dua bulan awal musim ini kerana kecederaan betis yang menambah risiko di pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 11:37 AM