RAYZAM (kanan) bersaing dengan Bautista pada final 110m lari berpagar lelaki di Clark. — FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


SATU lagi prospek emas negara berkubur apabila Rayzam Shah Wan Sofian hanya mampu berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 110 meter lari berpagar Sukan Sea Filipina di Clark City, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Rayzam gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur dengan emas kali ini menjadi milik pelari tuan rumah, Clinton Bautista.

Meskipun Rayzam dan Bautista melintasi garisan penamat dengan catatan masa yang sama iaitu 13.97 saat, namun keputusan ‘photo finish’ memihak kepada pelari Filipina itu manakala gangsa diraih atlet Laos, Anousone Xaysa yang merakam 13.99s.

Rayzam wajar diberi pujian kerana masih mampu beraksi dengan baik walaupun belum pulih sepenuhnya kesakitan di tangan kanan selepas terjatuh pada Grand Prix Malaysia April lalu.

Sebelum ini dua prospek emas negara, Jackie Wong dan Grace Wong yang beraksi dalam acara baling tukul besi turut gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:05 PM