KLOPP dan Jordan Henderson ketika sidang akhbar di Salzburg. FOTO Reuters
Agensi

JURGEN Klopp berkata, Liverpool berdepan aksi paling penting dalam kehidupan apabila menentang FC Salzburg awal pagi esok dengan juara Eropah tahu kekalahan menyebabkan mereka tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Kemenangan Salzburg dan Napoli mengelak kekalahan di tempat sendiri menentang Genk bakal menyaksikan Liverpool jatuh di tempat ketiga dan muncul juara bertahan pertama tersingkir sejak nasib sama menimpa Chelsea pada musim 2012-13.

Klopp mengakui ketika sidang akhbar di Salzburg awal pagi tadi, dia dapat berasakan ‘bahang’ menentang skuad Jesse Marsch dengan tuan rumah memburu kemenangan untuk layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama.

Klopp sedar ancaman itu dan memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak memandang mudah cabaran lawan.

"Perlawanan malam esok adalah yang paling penting dalam hidup kerana tiada peluang lagi (jika kalah),” kata Klopp. "Saya cuma harapkan prestasi terbaik daripada pemain. Semua tahu ia adalah final dan kami sudah bersedia untuk itu.

"Salzburg perlukan kemenangan dan kami ada di situ. Kami tetap bersemangat dan memberi 100% dalam setiap cabaran. Jika Salzburg mara, mereka memang berhak, kami tidak.

“Saya tidak gementar tetapi tetapi kami berasa bahangnya. Ia situasi istimewa --- jika ia penting kepada anda, anda pasti mahukannya. Jadi ia tegang dan anda perlu belajar menghadapinya.”

"Salzburg pasukan yang banyak menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas tetapi saya cukup mengenali mereka dan saya harap dapat memusnahkan bahagian terkuat mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:48 AM