SIMEONE berdepan tugas berat lonjak prestasi Atletico. FOTO Agensi
AFP

DIEGO Simeone menganggap musim peralihan buat Atletico Madrid tetapi beberapa keputusan kurang memberangsangkan mencetuskan persoalan sama ada dia pengurus yang tepat untuk berdepan cabaran seterusnya.

Tewas 0-1 kepada Barcelona di tempat sendiri bulan lalu menyukarkan peluang Atletico bersaing memburu gelaran La Liga sebelum keputusan seri di Villarreal pada Jumaat lalu menjadikan ia sesuatu yang mustahil untuk setahun lagi.

“Anda perlu tahu begitu banyak perubahan berlaku dalam pasukan dan kami perlu masa untuk meningkat,” kata Simeone. “Anda mesti faham, kami berada dalam tahun peralihan.”

Ketika Antoine Griezmann, Lucas Hernandez, Diego Godin, Rodri, Juanfran dan Filipe Luis meninggalkan kelab pada musim panas lalu, kebimbangan utama mereka bukan perlukan masa tetapi langsung tidak pulih.

Kemudian pemain baharu muncul menjanjikan sejuta harapan. Joao Felix, Hector Herrera, Kieran Trippier, Marcos Llorente, Renan Lodi, Mario Hermoso dan Ivan Saponjic menandatangani kontrak dengan Felix menjadi tumpuan utama.

Sejumlah 126 juta euro (RM580.56 juta) dibayar Atletico kepada Benfica dengan impian pemain generasi baharu dari Portugal itu mampu mengubah nasib pasukan.

Tetapi ketika Felix yang kini berusia 20 tahun dan semua tonggak berdepan Barcelona, tiada seorang pun berusia melebihi 29 tahun dan Atletico hilang kepimpinan dan identiti mereka.

Atletico akan menentang Lokomotiv Moscow dalam aksi Kumpulan D awal pagi Khamis ini dan memerlukan kemenangan untuk menjamin tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 12:40 PM