IRFAN (tengah) ceria ketika majlis penyampaian pingat di Clark, hari ini. — FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


KEJAYAAN Irfan Shamsuddin mempertahankan pingat emas acara lempar cakera Sukan Sea sememangnya sudah dijangka, namun kejayaannya kali ini cukup unik.

Dua minggu lalu atlet berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ligamen tetapi hari ini dia berjaya memenangi emas hanya menerusi balingan pertama dengan jarak 57.29 meter sementara lima balingan selepas itu dibatalkan.

Walaupun hanya satu balingan, Irfan jauh meninggalkan pemenang pingat perak yang juga peserta tuan rumah, William Morrison yang melakukan 51.38m manakala Narong Benjaroon dari Thailand gangsa dengan jarak 51.29m.

Ia emas keempat berturut-turut diraih Irfan sejak kali pertama pada edisi 2013 di Myanmar.

IRFAN beraksi pada final lempar cakera lelaki di Stadium Olahraga New City Clark, Clark. — FOTO Aizuddin Saad

“Kali ini saya menerima saingan sembilan peserta. Saya menjangkakan keputusan lebih baik tapi seperti yang semua tahu dua minggu lalu ligamen saya koyak.

“Memang agak kecewa tapi saya terus juga bersaing hingga tamat saingan. Saya terasa agak sakit juga ketika saingan hari ini.

“Apa pun ia penamat yang cukup baik tahun ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 8:10 PM