Salah mengatasi penjaga gol Salzburg. FOTO Reuters
Reuters

DUA gol pada separuh masa kedua oleh Naby Keita dan Mohamed Salah memastikan juara bertahan Liverpool menewaskan Salzburg 2-0 sekali gus mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, pagi ini.

Barisan kendalian Juergen Klopp berjaya memungut mata penting di Austria sekalipun terlepas deretan peluang menjaringkan gol pada babak pertama.

Tandukan Keita meletakkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu di depan pada minit ke-57 ketika berdepan bekas kelabnya.

Andy Robertson melorongkan bola kepada Mane yang melepasi Jerome Onguene dan jangkaan penjaga gol Salzburg, Cican Stankovic yang bertindak keluar daripada gawang sebelum Mane melambung bola di dalam kotak penalti sehingga tepat ditanduk Keita.

Seminit kemudian Stankovic sekali lagi tewas ketika Salah mengatasi penjaga gawang itu menerusi jaringan menarik pada sudut sukar.

Liverpool menguasai perlawanan namun mengsia-siakan deretan peluang menambah jaringan.

Barisan pemain Liverpool meraikan kejayaan menduduki kelompok teratas kumpulan. FOTO Reuters

“Pasukan yang hebat. Usaha yang bagus. Ia perlawanan yang mencabar.” kata Juergen Klopp.

“Dalam separuh masa kedua mereka (Salzburg) tidak mampu bertahan dengan kekuatan kami. Kami menjaringkan dua gol yang menakjubkan.

“Kami boleh menjaringkan enam atau tujuh yang tampak gila. Kami menang kumpulan, kami menang perlawanan, semuanya bagus.

“Apabila kami menerima bola tetapi kami tidak menjaringkan gol. Kemudian Mo (Salah) menjaringkan gol dalam situasi paling sukar malam ini – dia menjaringkan gol itu.” kata pengendali dari Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 7:53 AM