Jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti (Kanan) Ketika Perlawanan Berdepan Genk Pagi Ini. Foto Reuters
Reuters

NAPOLI memecat Carlo Ancelotti, salah seorang antara jurulatih Eropah yang paling berjaya, tiga jam selepas kelab Serie A itu melayakkan diri dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara ketika menewaskan Genk 4-0 pagi ini.

Keputusan itu meneruskan kehampaan Genk untuk mencatat kemenangan pertama selepas beraksi enam perlawanan.

Kelab berkenaan dalam kenyataan di Twitter rasmi mereka mengesahkan pemecatan jurulatih berusia 60 tahun itu, yang sudah memenangi kejuaraan liga domestik di England, Perancis, Jerman dan Itali termasuk Liga Juara-Juara tiga kali.

“Napoli sudah membuat keputusan untuk menamatkan tugas jurulatih pasukan utama Carlo Ancelotti.

“Hubungan setia kawan, menghormati dan persetujuan bersama antara kelab membabitkan presiden, Aurelio De Laurentiis dan Carlo Ancelotti masih kekal.

Keputusan itu berikutan beberapa minggu yang getir di kelab berkenaan ketika Ancelotti mengkritik keputusan dibuat De Laurentiis pemilik Napoli yang terkenal dengan kelantangannya, untuk mengurung pasukan ke kem latihan selama seminggu.

Pemain bertindak keluar ketika tempoh pertengahan kem berjalan dan enggan untuk tinggal di hotel begitupun masih meneruskan latihan.

Penyingkiran Ancelotti sudah dijangka dan tersebar meluas menerusi media Itali yang melaporkan Napoli bakal menyenaraikan Gennaro Gattuso yang dipecat oleh AC Milan pada penghujung musim lalu sebagai penggantinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 8:22 AM