SHAPAWI (kanan) melayan soalan wartawan pada sidang media di Clark City, hari ini. — FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


“KAMI ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan penyertaan di Sukan Sea kali ini.”

Demikian luahan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mengakui mereka bertanggungjawab atas kegagalan memenuhi sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan Sea kali ini.

Jelasnya, mereka tidak akan menuding jari kepada pihak lain susulan kegagalan yang dilabel paling buruk dalam sejarah penyertaan Sukan Sea itu.

“Walaupun kami mempunyai beberapa kejayaan lain di peringkat dunia seperti Sukan Olimpik dan Sukan Asia selain kejayaan individu, tapi untuk penyertaan di Sukan Sea kami ambil tanggungjawab sepenuhnya.

PASUKAN memanah recurve lelaki gagal mempertahankan emas Kuala Lumpur 2017. — FOTO Aizuddin Saad

“Kami akan mengkaji dan mencari satu pendekatan lain sebelum dikemukakan kepada kementerian (Kementerian Belia dan Sukan), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) serta lembaga pengurusan MSN.

“Saya sebagai Ketua Pengarah MSN ambil tanggungjawab ini. Kami akan meneruskan kerja hinggalah kami diperlukan.

“Saya ucapkan terima kasih atas pandangan daripada mereka yang pakar dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau merujuk kepada pandangan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong menerusi laporan Arena Metro hari ini yang menyatakan penyertaan pada temasya kali ini terburuk dalam sejarah kerana banyak wang dilaburkan ke atas kontinjen negara yang menghantar jumlah atlet kedua paling ramai selepas Korat 2007.

Kontinjen negara menamatkan kempen edisi kali ini dengan meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 7:55 PM