Pemain Bayern Munich, Philippe Coutinho (kiri) meraikan jaringan berdepan Tottenham. FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich menjadi kelab dari Jerman yang pertama memenangi semua enam perlawanan peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Tottenham kendalian Jose Mourinho, 3-1 di gelanggang sendiri, pagi ini.

Kedua-dua pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir namun kemenangan memberikan kelegaan buat jurulatih sementara, Hansi Flick selepas juara Jerman itu tewas dua saingan Bundesliga.

Kingsley Coman, yang mengalami dua kecederaan pergelangan kaki pada 2018, meletakkan Bayern di depan di Allianz Arena sebelum dikeluarkan selepas 27 minit kerana kecederaan lutut.

Walaupun pemain remaja, Ryan Sessegnon menyamakan kedudukan dengan jaringan pertamanya buat Spurs, pengganti Coman, Thomas Mueller memastikan kelebihan Bayern sebelum tamat babak pertama.

Selepas sejam permainan, Philippe Coutinho menjaringkan gol ketiga Bayern dengan rembatan kencang ke penjuru gawang Spurs.

“(Kami) memang mahu menang untuk mengesahkan kepada diri kami sendiri bahawa kami melakukan perkara yang betul,” kata Mueller.

“Kadangkala kami sedikit tidak bernasib baik. Kami hanya boleh bersimpati dengan Kingsley, kecederaannya nampak sangat tidak bagus,” kata Mueller mengenai pemain Perancis itu.

Bayern membelasah Spurs 7-2 di utara London apabila kedua-dua kelab bertemu pada Oktober, tetapi kali ini agak berbeza apabila kedua-dua pasukan merehatkan bintang penyerang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 8:13 AM