Morbidelli catat masa terpantas. FOTO NSTP
BERNAMA

PASUKAN Malaysia, Yamaha Sepang Racing akan memulakan saingan perlumbaan Kejohanan Tahan Lasak Dunia FIM 8 Jam Sepang dari kedudukan petak utama di Litar Sepang.

Pelumbanya Franco Morbidelli dari Itali mencatat masa terpantas 2:04.647s untuk berada di hadapan pelumba Thailand Somkiat Chantra daripada Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang mencatat masa 2:05.440s.

Pasukan F.C.C. TSR Honda France berada di kedudukan ketiga selepas pelumbanya Josh Hook mencatatkan masa 2:05.484s.

Dalam perlumbaan 8 Jam Sepang bermula Sabtu ini, pelumba paling laju daripada setiap 10 pasukan terpantas dalam peringkat kelayakan akan sekali lagi berlumba untuk satu lagi pusingan bagi menentukan kedudukan akhir grid pasukan masing-masing.

Morbidelli berkata:”Dapat dirasakan ada sedikit persaingan dengan Honda, kelajuan kami lebih baik sedikit tetapi mereka lebih berpengalaman dalam perlumbaan ini.

Kami akan mencuba yang terbaik dalam perlumbaan Sabtu ini.”

Morbidelli bersama pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dan juara tiga kali 8 Jam Suzuka, Michael Van der Mark dalam pasukan itu mencatatkan purata masa pusingan terbaik 2:04.429s selepas dua sesi kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 12:36 AM