BAM selar kenyataan Zolkples. FOTO NSTP
BERNAMA

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyelar kenyataan Datuk Seri Zolkples Embong yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada pemenang pingat emas acara badminton Sukan SEA Filipina yang rata-ratanya berusia 21 tahun.

BAM berasa kesal dan sedih kerana kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi ‘Surat Terbuka Kepada Menteri Belia dan Sukan’ itu yang mengatakan bahawa pemain negara ‘bernasib baik’ kerana pemain terbaik Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu.

“BAM turut melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap kenyataan menyentuh prestasi skuad badminton kebangsaan di Sukan SEA. BAM menegaskan kenyataan Zolkples itu sama sekali tidak akan membantu situasi, sebaliknya menjatuhkan semangat para pemain,” menurut BAM dalam satu kenyataan media, semalam.

Sebagai bekas Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples pastinya menyedari bahawa ketiadaan pemain-pemain ‘ternama’ yang bertanding di temasya sukan dwitahunan itu juga adalah keputusan persatuan badminton negara Asia Tenggara dan di luar bidang kuasa BAM.

“Pingat emas dimenangi oleh wira-wira muda ini tidak harus diperlekehkan. Beliau seharusnya melihat dari perspektif yang lebih positif, di mana pada usia yang muda, pemain ini telah berjaya mengharumkan nama negara.

Antara isi kandungan lain dalam ‘Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan’, Zolkples melahirkan kerisauan Zolkples terhadap sasaran negara di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 1:06 AM