KUALA LUMPUR: Program pembangunan sukan di peringkat akar umbi diterajui MILO dengan kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti berjaya melahirkan ramai atlet muda serta pelapis untuk diketengahkan di persada sukan antarabangsa.

Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)–MILO dengan kerjasama KPM misalnya antara program permulaan kerjaya sukan atlet kebangsaan sejak lebih 40 tahun lalu.

Menerusi platform ini, atlet muda yang mencapai kecemerlangan dalam sukan diceburi diiktiraf melalui Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO.

Antara penerima anugerah bersaing pada temasya Sukan Sea ke-30 di Filipina termasuk atlet gimnastik, Izzah Amzan dan Farah Ann Abdul Hadi, masing-masing pemenang Anugerah Puteri 2018 dan 2011, penerjun Nur Dhabitah Sabri, Anugerah Tunas Harapan Puteri, 2008 dan Welson Sim (renang)–Anugerah Putera 2014.

Mereka antara 396 muka baharu yang bertanding julung kali di Sukan Sea daripada keseluruhan 773 atlet negara.

FARAH (kiri) dan Dhabitah raih emas Sukan Sea Filipina 2019.

Selain muka baharu, ramai atlet muda yang dilahirkan menerusi program kejohanan MSSM-MILO di peringkat sekolah kembali bertarung demi mengharumkan nama Malaysia.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pencapaian mereka membanggakan seperti Izzah yang memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam acara gimnastik di Sukan Sea.

Farah Ann pula cemerlang dengan tiga pingat emas, Nur Dhabitah satu emas, manakala Welson meraih satu perak.

Menurut Izzah, dia aktif dalam gimnastik sejak usia tujuh tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan.

“Tapi, pengalaman bersama MSSM-MILO serta kepercayaan diberikan menerusi Anugerah Puteri MSSM-MILO 2018 membuka peluang saya bertanding di peringkat lebih tinggi dan mencabar.

“Harapan pada masa hadapan adalah untuk menjadi kebanggaan ibu bapa yang sudah banyak berkorban untuk membolehkan saya berada pada tahap sekarang.

WELSON penyandang Anugerah Putera 2014.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia pada setiap jatuh bangun saya selama bergelar atlet,” katanya.

Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan MILO & Susu, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumaran Nowuram berkata, sebagai peneraju program pembangunan sukan di peringkat akar umbi sejak lebih 60 tahun lalu, MILO berkongsi kebanggaan seluruh rakyat dengan pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Sea kali ini.

“Kepada atlet muda yang pernah dipupuk menerusi kejohanan MSSM-MILO, kami berharap kejayaan yang ditempa akan menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh menuju cita-cita,” katanya.

Katanya, dalam berkongsi kebanggaan atas pencapaian anak muda Malaysia ini, MILO meneruskan komitmen untuk memajukan sukan bermula di peringkat akar umbi ke arah pembangunan komuniti, masyarakat dan negara yang aktif, sihat dan maju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:30 AM