AKSI Lacazette menanduk masuk gol pertama Arsenal. FOTO AFP
AFP

ARSENAL bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum seri 2-2 di Standard Liege sekali gus memastikan tempat ke saingan 32 terakhir sebagai pendahulu Kumpulan F dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.

Alexandre Lacazette dan Bukayo Saka menemui sasaran dalam tempoh tiga minit pada babak kedua.

Gunners naib juara musim lalu menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan 11 mata dan bakal mendapat laluan lebih mudah pada undian pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, mereka hampir berputih mata apabila Eintracht Frankfurt nyaris mengambil alih teraju kumpulan selepas kelab Jerman itu mendahului Guimaraes 2-1 namun kelab Portugal itu bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit terakhir untuk menang 3-2.

Arsenal yang menewaskan Liege 4-0 dalam perlawanan pertama mereka dan dengan tempat ke pusingan kalah mati hampir terjamin, pengendali sementara, Freddie Ljungberg melakukan sembilan pertukaran ke atas barisannya di Belgium.

PENJAGA gol Arsenal gagal menyelamatkan bola rembatan Bastien. FOTO Reuters

Tuan rumah mendahului sejurus selepas babak kedua bermula apabila rembatan Samuel Bastien terkena pertahanan lawan membuatkan penjaga gol Gunners, Emiliano Martinez tersalah langkah.

Jaringan itu bermakna gawang Arsenal bocor dalam 13 aksi terakhir menyamai catatan terburuk era Arsene Wenger pada 2004.

Situasi bertambah buruk pada minit ke-69 apabila Selim Amallah menjadikan kedudukan 2-0 selepas rembatan dalam kotak penalti turut terkena pemain lawan dan Arsenal hampir tersingkir.

Tetapi Lacazette membakar semula semangat rakan sepasukan dengan gol pertama pada minit ke-67 apabila menanduk masuk hantaran Saka dan tiga minit kemudian Saka menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Frankfurt menewaskan Arsenal di London yang menjadi salah satu punca jurulatih, Unai Emery dipecat. Mereka hampir menamatkan saingan dengan muncul pendahulu kumpulan apabila jaringan Danny Da Costa dan Daichi Kamada membolehkan Frankfurt mendahului 2-1 ke atas Guimaraes.

Bagaimanapun, pemain tengah Libya, Ali Al Musrati dan pemain sayap Inggeris, Marcus Edwards menjaringkan gol pada minit ke-85 dan 87 membolehkan Frankfurt menduduki tangga kedua.

Dalam perlawanan lain, Celtic yang masih segar selepas menjuarai Piala Liga Scotland hujung minggu lalu dan telah pun layak ke peringkat 32 terakhir, tewas 0-2 di Cluj yang mara sebagai naib juara Kumpulan E di belakang kelab Celtic.

Gergasi Itali, Lazio yang menduduki tangga ketiga Serie A tersingkir selepas tewas 0-2 di Rennes dalam kumpulan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:39 AM