GREENWOOD diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol keempat United. FOTO Reuters
AFP

PEMAIN remaja, Mason Greenwood sekali lagi memanfaatkan peluang bersama Manchester United apabila menjaringkan dua gol ketika membelasah AZ Alkmaar 4-0 dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan awal, Arsenal bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum seri 2-2 di Standard Liege untuk memastikan tempat ke saingan 32 terakhir sebagai juara Kumpulan F.

Dengan Wolves yang menewaskan Besiktas 4-0 turut mara, kelab Inggeris menamatkan saingan peringkat Eropah dengan cemerlang menerusi tiga penyertaan dalam Liga Europa dan empat dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Kelab Sepanyol tidak ketinggalan apabila Getafe menyertai Sevilla dan Espanyol yang mara lebih awal apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh 14 minit terakhir sebelum menewaskan Krasnodar 3-0 dalam perebutan naib juara Kumpulan C.

AKSI Mata menjaringkan penalti. FOTO Reuters

Bagaimanapun, pendahulu Bundesliga, Borussia Moenchengladbach dan gergasi Itali, Lazio tersingkir.

Di Old Trafford, dalam perebutan juara Kumpulan L, Alkmaar berjaya menandingi skuad muda United sehingga minit ke-53 apabila pemain veteran, Ashley Young meletakkan tuan rumah di depan.

Greenwood menolak bola masuk ke penjuru gawang untuk gol kedua United sebelum Juan Mata menyempurnakan penalti selepas Greenwood dikasari.

Pemain Sepanyol itu kemudiannya melorongkan bola kepada Greenwood yang disudahkan dengan rembatan jarak dekat untuk gol keempat United.

Gladbach pula merana saat akhir menerusi jaringan pada minit ke-91 ketika mereka tewas 1-2 kepada Istanbul Basaksehir dan jatuh selaku pendahulu ke tangga ketiga sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

Marcus Thuram meletakkan kelab Jerman di depan pada minit k-33 sebelum Irfan Can Kahveci membalasnya sebelum rehat dan Enzo Crivelli muncul wira tuan rumah pada masa kecederaan selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol lawan.

Basaksehir muncul juara kumpulan, Roma yang seri 2-2 ketika menentang kelab Austria, Wolfsberg di di tempat kedua.

Lazio yang menduduki tangga ketiga Serie A tersingkir selepas tewas 0-2 di Rennes dalam aksi Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 8:12 AM