REAKSI pemain Inter selepas tewas kepada Barcelona di San Siro. FOTO Agensi
AFP

INTER Milan kembali fokus perebutan gelaran Serie A selepas kekecewaan dalam saingan Liga Juara-Juara manakala Gennaro Gattuso yang memulakan tugas sebagai jurulatih Napoli berusaha menamatkan kemarau kemenangan dalam tujuh aksi liga Itali pada hujung minggu ini.

Inter Milan kelab tunggal dari Itali yang gagal mara ke pusingan kalah mati selepas tewas 1-2 kepada Barcelona di San Siro.

Pendahulu liga, Inter kendalian Antonio Conte mengatasi juara, Juventus dengan dua mata berkunjung ke Fiorentina yang menduduki tangga ke-13 dengan misi memburu gelaran pertama Serie A sejak 2010.

Bintang Inter, Romelu Lukaku (sepuluh) dan Lautaro Martinez (lapan) menjaringkan lebih banyak gol daripada keseluruhan skuad Fiorentina musim ini dengan skuad Tuscan itu tewas empat perlawanan berturut-turut.

"Saya dapat lihat kekecewaan di mata pemain dan saya turut berduka. Kami perlu mengangkat kembali kepala kami,” kata Conte.

"Kami ada dua perlawanan lagi sebelum Krismas dan harap dapat semula pemain yang tercedera.”

Skuad Cristiano Ronaldo, Juventus menerima kunjungan Udinese yang menduduki tangga ke-16 selepas rekod tanpa kalah mereka lebur di tangan Lazio di Rom pada Ahad lalu.

Bintang Portugal, Ronaldo menjaringkan gol dalam tiga aksi terakhir termasuk ketika menewaskan Bayer Leverkusen dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini.

Dalam persaingan dua pasukan di tangga ketiga dan keempat, Lazio dan Cagliari memiliki rekod seimbang.

Skuad Simone Inzaghi, Lazio boleh melanjutkan kemenangan kepada lapan perlawanan berturut-turut tetapi Cagliari tidak tewas sejak 1 September lalu.

Roma di tangga kelima yang menerima kunjungan pasukan tercorot, SPAL memerlukan mata untuk mengejar kelompok empat teratas selain Atalanta yang berkunjung ke Bologna selepas mara kali pertama ke saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Pasukan di tangga ketujuh, Napoli lapan mata di belakang slot Liga Juara-Juara. Selepas gagal meraih sebarang kemenangan sejak 19 Oktober lalu, pengendali, Carlo Ancelotti dipecat walaupun membelasah Genk dalam aksi Liga Juara-Juara, minggu ini.

Gattuso, 41, mengambil alih tugas dari bekas mentornya di AC Milan, Ancelotti dengan tugas pertamanya menentang Parma di Stadium San Paolo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 9:00 AM