Azizulhasni jadi pilihan. FOTO NSTP
Azizulhasni jadi pilihan. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang bakal menjadi tumpuan apabila turun beraksi pada siri kelima Piala Dunia di Brisbane, Australia yang membuka tirai, esok.

The Pocketrocketman turun dengan reputasi gah selaku juara acara keirin siri keempat Piala Dunia yang berlangsung di Cambridge, New Zealand pada minggu lalu.

Dia dilihat antara pilihan untuk terus meraih kejayaan selain beberapa pelumba lain seperti Tomas Babek (Republik Czech), Jack Carlin (Great Britain), Callum Saunders dan Matthew Glaetzer (Australia).

Azizulhasni melakar pencapaian membanggakan apabila kayuhan bertenaganya membolehkan dia muncul juara di Cambridge, meninggalkan lima pencabar yang lain di pentas final keirin.

Malah pada saingan kelayakan pecut individu, dia membuktikan ‘maju selangkah’ apabila melakar rekod baru kebangsaan menerusi catatan 9.760 saat bagi memadamkan rekod lamanya miliknya 9.774s.

Ia adalah pencapaian terbaiknya pada tahun ini selepas dua emas pecut individu Kejohanan Trek Asia 2019 dan 2020.

Turut beraksi di Velodrom Anna Meares adalah Shah Firdaus Sahrom dan Anis Amira Rosidi pada saingan yang dijadual berakhir pada Ahad nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:28 PM