THOMAS (kiri) dan Woods meraikan kemenangan pada hari kedua Piala Presiden di Royal Melbourne, hari ini. — FOTO AFP
AFP

AMERIKA Syarikat mencetus kebangkitan lewat untuk kekal bersaing pada Piala Presiden hari ini selepas mereka kelihatan di ambang kekalahan dan kapten Tiger Woods memuji semangat “luar biasa” mereka.

AS berdepan format ‘alternate shot’ atau ‘foursomes’ pada hari kedua ketinggalan 1-4, selepas pasukan Antarabangsa diketuai Ernie Els menikmati permulaan terbaik mereka pada kejohanan dwitahunan itu sejak 2005.

Mereka ketinggalan 3.5-6.5 selepas bangkit menentang pasukan muda Els, yang kelihatan di landasan untuk meraih kemenangan pertama Antarabangsa sejak kejuaraan tunggal mereka pada 1998.

Pada satu ketika Antarabangsa mendominasi namun Justin Thomas dan Patrick Cantlay kedua-duanya menolak masuk putt dari jarak jauh di lubang ke-18 untuk meraih kemenangan tipis buat AS yang terdesak memerlukan mata, dengan kapten yang beraksi Woods berteriak keriangan.

ELS (kiri) dan Adam Scott pada hari kedua Piala Presiden.— FOTO AFP

Hari yang menarik berakhir dengan keputusan seri – masing-masing dua kemenangan dan satu seri.

Dengan berbaki 30 mata pada hujung minggu, Antarabangsa memerlukan sembilan mata lagi daripada lapan perlawanan esok dan 12 perseorangan Ahad ini untuk merakam kemenangan.

“Pada satu ketika ia kelihatan teruk, tapi pemain tampil mengubah keadaan. Mereka bermain luar biasa pada sembilan lubang terakhir,” kata Woods. “Ia penting buat kami untuk berakhir dengan cara ini dan ia jelas mengubah keadaan pada saat akhir.

“Kekuatan ada di luar sana,” katanya. “Pemain ini semuanya muda dan terlalu teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan. Saya fikirkan banyak perkara, hanya dapat merasai lapangan golf ini. Ia pantas.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:55 PM