PEMANDU kategori WTCR beraksi ketika sesi ujian masa di Sepang. — FOTO Zulfadhli Zulkifli
BERNAMA

PENERAJU kejohanan Norbert Michelisz menyambar petak utama perlumbaan pertama World Touring Car Cup (WTCR) pada Races of Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Pada sesi di tengah panas terik hari ini, pelumba Hungary yang memandu untuk BRC Hyundai N Squadra Corse mencatat masa dua minit 13.748 saat sekali gus meletakkan jentera Hyundai i30 N TCR di petak pertama.

“Saya gembira dengan prestasi kenderaan. Catatan yang dibuat adalah antara yang terbaik sepanjang karier saya. Saya bermula dengan strategi agresif tapi terhad dan saya perlu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya hari ini, ia prestasi yang cukup baik,” kata pemandu berusia 35 tahun itu.

Petak utama Michelisz yang ketiga musim ini memberikannya lima mata untuk sesi kelayakan di samping menambah mata untuknya mengatasi Esteban Guerrieri, daripada sembilan kepada 14, menjelang perlumbaan pertama.

Guerrieri, pelumba dari Argentina kurang memberangsang hari ini semasa memandu kenderaan kedua BRC Squadra Corse Hyundai i30 N TCR, selepas hanya mencatat masa ke-10 terpantas dan gagal meraih apa-apa mata kelayakan.

Turut gagal beraksi cemerlang Yvan Muller dan Thed Bjork dari Cyan Racing Lynk & Co 03 TCR, yang terus bergelut sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 9:53 PM