PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) mengadakan sidang media di hotel Hilton , hari ini. FOTO Amirudin Sahib
Syazwan Msar


JANJI hanya tinggal janji apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya mengumumkan tiada lagi baki hak penyiaran kepada rakan kongsi mereka seperti diperkatakan sebelum ini.

Hal itu bermakna baki bayaran RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super, manakala RM500,000 khusus kepada skuad Liga Perdana yang sepatutnya dibayar ketika ini tiada akibat kantung pengurusan liga tempatan itu berkurangan.

Susulan mesyuarat rakan kongsi luar biasa hari ini, MFL menyatakan biarpun berdepan kekangan itu, mereka tetap menunaikan tanggungjawab dengan mengagihkan hak penyiaran dan komersial sejumlah RM24 juta kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu.

Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada Rakan Kongsi akan ditentukan oleh ahli lembaga pengarah MFL jika pendapatan hak penyiaran dan komersial kepada rakan kongsi kurang daripada RM18 juta.

Jelas apa yang berlaku musim ini, MFL tidak meraih pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan kepada rakan kongsi namun selaku pengendali Liga Malaysia masih berjaya mengagihkan pendapatan sebanyak RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Perdana pada 15 Julai lalu.

“Liga Malaysia musim 2019 berjalan tanpa penaja utama hak penyiaran. Meskipun tanpa penajaan ini, MFL tetap menguruskan operasi Liga Malaysia dengan baik apabila semua pertandingan iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran berjaya dianjurkan.

“Berdasarkan Perlembagaan MFL, 75 peratus daripada baki pendapatan diedarkan kepada setiap rakan kongsi dan pembahagian itu dijelaskan dalam Jadual 7 yang mana hanya RM1 juta diberikan kepada rakan kongsi yang beraksi di Liga Super manakala RM500,000 diberikan kepada rakan kongsi Liga Perdana.

“Jika pendapatan untuk diedarkan kepada rakan kongsi (merujuk kepada 75 peratus daripada pendapatan) kurang daripada RM18 juta, maka jumlah yang akan diedarkan kepada rakan kongsi akan ditentukan oleh ahli lembaga MFL.

“Namun MFL tetap memastikan agihan hak pendapatan kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu dan MFL percaya rakan kongsi memahami situasi yang berlaku di mana tiada penaja utama hak penyiaran pada musim 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 10:21 PM