Penyerang Barcelona, Antoine Griezmann (kanan) melakukan rembatan sambil di halang pemain Real Sociedad. FOTO Reuters
AFP

BARCELONA memberikan Real Madrid peluang mengisi tempat teratas La Liga Sepanyol menjelang pertembungan Clasico di Nou Camp, minggu depan selepas diikat 2-2 oleh Real Sociedad, awal pagi ini.

Kesilapan oleh penjaga gol berbakat Barca, Marc-Andre ter Stegen memberikan tuan rumah gol penyamaan yang dicari-cari pada aksi di Anoeta membabitkan dua pasukan yang cukup dikenali dengan corak permainan menyerang itu.

Jaringan Antoine Griezmann dan Luis Suarez dilihat berjaya mengubah situasi perlawanan selepas Mikel Oyarzabal meletakkan Sociedad mendahului tetapi kesilapan Ter Stegen yang mengasari Alexander Isak di kawasan penalti menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Real akan merampas tangga teratas La Liga daripada Barca dengan kelebihan dua mata jika menang ke atas Valencia, malam ini yang turut dilihat sebagai pelonjak moral menjelang pertemuan dengan seteru tradisinya itu.

“Perlawanan pada Rabu (awal pagi Khamis) pasti berbeza,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Aksi berkenaan mempunyai makna yang istimewa tetapi ada sesuatu yang kami perlu tingkatkan.”

Keputusan seri membolehkan Barca kini mengumpul 35 mata daripada 16 perlawanan manakala Sociedad yang dibezakan tiga mata daripada pasukan tangga ketiga, Sevilla.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:24 AM