Pemain Parma, Gervinho menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Napoli dalam saingan Serie A. FOTO Reuters
AFP

PENAMPILAN pertama Gennaro Gattuso sebagai jurulatih Napoli berakhir dengan kekalahan jaringan pada minit akhir perlawanan 1-2 kepada Parma awal pagi ini, ketika naib juara Serie A musim lalu itu meneruskan rekod tanpa kemenangan dalam lapan perlawanan liga.

Gattuso mengambil alih tugas selepas Carlo Ancelotti dipecat walaupun Napoli menang 4-0 ke atas Genk dalam saingan Liga Juara-Juara untuk menempah tempat dalam 16 terakhir pertengahan minggu lalu.

Namun bekas jurulatih AC Milan harus memulihkan permulaan buruk pasukan selatan itu yang berada di kedudukan ke lapan - 17 mata di belakang pendahulu Inter Milan yang akan berdepan Fiorentina hari ini.

Gervinho memastikan kemenangan pada minit ketiga dalam masa kecederaan selepas Dejan Kulusevski memastikan Parma di depan hanya empat minit beraksi di Naples.

Arkadiusz Milik menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-64 dalam perlawanan yang tertangguh akibat angin kuat sehingga memusnahkan bumbung Stadium San Paolo.

“Saya tidak percaya dengan nasib malang. Ketika ini kami tidak berada dalam mentaliti yang bagus.” kata Gattuso.

“Pasukan ini terpaksa menerima hakikat mereka tidak menang (dalam liga) lebih 50 hari atau lebih.

“10 minit pertama juga membuktikannya. Ia sukar seperti sorakan dilaungkan penyokong. Banyak kerja yang masih perlu dilakukan.”

Napoli ketinggalan lapan mata untuk tempat ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan terakhir berdepan Verona pada 19 Oktober lalu. Parma pula melonjak di kedudukan ke tujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:25 AM