Amirudin akan pastikan atlet Selangor menerima ganjaran selepas meraih pingat emas Sukan Sea. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor akan memberi insentif kepada atlet Selangor yang berjaya meraih pingat emas di temasya Sukan Sea, Filipina, baru-baru ini, pada pertengahan Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu sudah menetapkan akan memberi ganjaran kepada atlet negeri yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam temasya sukan.

“Sudah ada dalam jadual kita bahawa mana-mana atlet negeri yang menang pingat emas sama ada di Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan SEA akan diberikan ganjaran.

“Saya tidak pasti jumlahnya tapi saya anggarkan RM3,000 ke RM5,000 untuk pemenang pingat emas dan untuk pingat lain, buat masa ini saya tidak pasti,” katanya selepas merasmikan program Sweat and Shoot, Sukan Tanpa Diskriminasi di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri memang ada peruntukan untuk pemberian ganjaran itu dan pihaknya dan Majlis Sukan Negeri (MSN) sedang melihat berapa ramai atlet yang akan menerima insentif berkenaan.

Pada temasya Sukan SEA ke-30 itu, atlet Selangor menyumbang sebahagian besar daripada kutipan pingat emas iaitu 26 daripada 56 pingat emas yang diperolehi negara.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, menzahirkan rasa sukacita dan mengucapkan tahniah kepada atlet Selangor serta pegawai yang berjaya meraih pingat di temasya sukan dwi tahunan itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, walaupun temasya sukan itu antara pencapaian terburuk negara, baginda berbangga kerana atlet Selangor menyumbang sebahagian besar pingat emas untuk negara.

Sementara itu, Sukan SEA yang melabuhkan tirainya pada malam Rabu lalu, menyaksikan Kontinjen negara gagal melepasi sasaran 70 emas yang ditetapkan apabila meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.Pada temasya itu, Filipina muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila setelah mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 119 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:26 PM