Pemain import kuota Asia Kedah Amin Nazari ceria disambut pengurusan KFA dan penyokong. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


PEMAIN import Kedah kelahiran Sweden Amin Nazari teruja untuk beraksi bersama pasukan Kedah dalam kancah Liga Malaysia yang akan bermula Februari depan.

Bekas pemain Ratchaburi FC dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Filipina memberi reaksi penuh bersemangat sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar jam 2.30 petang tadi.

Dia disambut pihak pengurusan dan penyokong Hijau Kuning.

"Saya rasa teruja untuk bersama pasukan Kedah yang merupakan pesaing hebat di Liga Malaysia dan meraih kejayaan sebagai juara Piala FA musim ini.

"Saya berazam mahu mencapai kejayaan disasarkan musim depan bersama pasukan ini. Apapun saya perlu mendapatkan bimbingan serta perancangan dibuat oleh ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.

"Sebelum tiba di Kedah, saya sudah mengetahui perkembangan pasukan ini dan rakan saya Alvaro Silva pernah beraksi bersama Kedah dan ia memudahkan saya mendapat maklumat dan perkembangan pasukan Kedah." katanya.

Amin Nazari adalah pemain kacukan Iran dan Filipina, dilahirkan di Sweden dan difahamkan boleh mewakili Sweden, Iran atau Filipina.

Dia mewakili Filipina pada 2018.

Media Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melalui laman rasmi memuatnaik gambar serta mengucapkan selamat datang kepada Amin Nazari yang merupakan import kelima Kedah sebaik beliau tiba di Alor Setar dengan ucapan selamat datang Amin Nazari.

Beliau dijangka akan mula melaporkan diri dalam sesi latihan pada isnin ini."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:50 PM