Peng Soon tidak boleh tutup mata. FOTO Instagram/NSTP
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN beregu campuran negara, Chan Peng Soon berdepan detik membimbangkan apabila dia mengalami situasi lumpuh di bahagian mukanya.

Rakan gandingan Goh Liu Ying itu menerusi kiriman video di dalam akaun sosial miliknya berkata, bahagian muka di sebelah kirinya paling terkesan.

Di dalam video itu, Peng Soon memberi penjelasan sambil menunjukkan berasa agak kebas di bahagian sebelah mukanya selain tidak dapat menutup mata kirinya dengan sempurna.

Peng Soon mengalami situasi itu sehari sebelum Final Jelajah Dunia di Guangzhou, China yang menyaksikannya bersama Liu Ying gagal memenangi walau satu pun perlawanan peringkat kumpulan.

"Saya ingin tanya adakah anda pernah mendengar mengenai lumpuh di bahagian muka?

"Saya tidak dapat berasakan sebahagian daripada muka saya ketika bercakap tetapi sebahagian lagi agak baik.

"Saya tidak boleh menutup mata kiri dan peluh kerap turun ke bahagian mata dan ia menjejaskan rentak permainan secara keseluruhannya," katanya.

Difahamkan Peng Soon pulang ke Malaysia semalam.

Situasi terbaru yang dialami Peng Soon itu kemungkinan sedikit sebanyak akan menjejaskan misinya bersama Liu Ying untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:06 PM