Azizulhasni lega tiada sebarang kecederaan serius. FOTO Instagram/NSTP
Azlan Muhammad Zain


AZIZULHASNI Awang tidak mengalami kecederaan serius susulan insiden kemalangan yang menimpanya semasa pusingan pertama keirin di Brisbane.

Menurut pelumba trek berusia 31 tahun itu, keputusan terhadap ujian yang dijalankan terhadapnya di Hospital Princess Alexandra, semalam menunjukkan tiada yang membimbangkan terhadap keadaan dirinya.

"Sedikit tentang perkembangan diri saya, syukur Alhamdulillah daripada imbasan yang dibuat, tidak ada keretakan atau kecederaan serius cuma banyak kesan ‘skinburns’ di seluruh badan serta kesan hentakan di kepala serta bahu kanan.

"Paling azab bahagian bahu kanan kerana terdapat bengkak di ‘acromioclavicular joint’, mungkin kerana hentakan ketika jatuh atau dilanggar oleh pelumba lain.

Ia menyebabkan pergerakan saya amat terbatas dan direhatkan untuk acara pecut individu hari ini," jelasnya.

The Pocketrocketman terjatuh ketika saingan pusingan pertama keirin di siri kelima Piala Dunia yang berlangsung di Velodrom Anna Meares sekali gus dikejarkan ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

Dia turut melahirkan perasaan terharu terhadap pelbagai pesanan diterimanya menerusi media sosial, SMS dan Whatsapp yang mendoakannya agar pulih dengan segera serta mahu membuat persiapan menghadapi Kejohanan Trek Dunia di Berlin penghujung Februari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:30 PM