Hafizh mendengar penerangan krew pasukan sebelum perlumbaan. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


DUA pelumba negara, Mitchell Cheah dan Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan aksi cemerlang meskipun tampil selaku pemandu wild card pada Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Mitchell menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ke-19 manakala pada perlumbaan kedua dia memperbaiki kedudukan dengan penamat ke-16 sekali gus muncul pemandu wild card terbaik untuk perlumbaan kedua.

Hafizh pula menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ke-25 dan menamatkan perlumbaan kedua di kedudukan ke-22.

Pada perlumbaan ketiga pula, Hafizh cemerlang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 manakala Mitchell ke-19. Kedua-dua pemandu itu beraksi bersama Hyundai Team Engstler.

Hafizh mengakui berdepan kesukaran terutama pada perlumbaan pertama kerana ia adalah pengalaman pertamanya beraksi bersama pemandu terbaik dunia.

"Saya agak bergelut di awal perlumbaan. Tetapi selepas itu saya mula memahami rentak perlumbaan dan cuba mengejar kelompok hadapan.

"Saya gembira kerana dapat menampilkan aksi positif dan tidaklah berada di kedudukan paling belakang," katanya.

Mitchell pula mengakui tidak sihat sekali gus menjejaskan prestasinya.

"Saya lupakan seketika kesihatan saya sebaik memasuki kereta. Keputusan yang saya perolehi tidaklah begitu teruk," katanya.

Perlumbaan pertama dimenangi oleh pelumba BRC Hyundai N Squadra Corse, Norbert Michelisz manakala Esteban Guerrieri (ALL-INKL.COM Munnich Motorsport) mengungguli perlumbaan kedua.

Perlumbaan ketiga pula dimenangi oleh Johan Kristoffersson dari pasukan Sebastien Loeb Racing Volkswagen Motorsport.

Michelisz diumumkan sebagai juara keseluruhan WTCR dengan mengumpul 370 mata selepas menamatkan perlumbaan ketiga di kedudukan ke-5.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:12 PM