Vertonghen (5) meraikan jaringan kemenangan Spurs. FOTO REUTERS
Reuters

GERAKAN solo pemain sayap Tottenham Hotspur, Lucas Moura dan tandukan lewat permainan menerusi pemain pertahanan, Jan Vertonghen memastikan kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana menghiburkan di Stadium Molineux, malam tadi.

Ia kemenangan keempat Tottenham di bawah kendalian Jose Mourinho sejak pengurus Portugal itu mengambil alih kelab London itu bulan lalu.

Keputusan itu juga menamatkan rekod cemerlang 11 perlawanan tanpa kalah Wolves dalam saingan itu.

Tottenham membuat permulaan baik pada minit kelapan apabila Moura bertindak cemerlang melepasi beberapa pemain pertahanan Wolves dan meledak jaringan dengan rembatan kaki kanan yang tidak memberi peluang kepada penjaga gol Rui Patricio menyelamatkannya di penjuru gol.

Mourinho memeluk Harry Kane selepas skuadnya mengutip tiga mata di tempat lawan. FOTO REUTERS

Vertonghen yang terpaksa mengekang asakan Wolves menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memberikan tiga mata kepada pasukan pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:24 AM