X
Nazri Abu Bakar


PENGURUSAN Melaka United (MU) mengharapkan penyertaan semula bekas penyerang utama skuad terbabit, Jasmir Mehat menambah sengat skuad berkenaan musim 2020.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, Jasmir penyerang utama ketika Melaka menjuarai saingan Piala Liga FAM 2015.

Malah dia juga cemerlang membantu pasukan menamatkan kemarau 33 tahun kejuaraan Liga Perdana pada musim 2016 ketika dibimbing jurulatih Mat Zan Mat Aris.

Jasmir kemudiannya menyertai Terengganu City FC dan membantu kelab itu menjuarai Piala Liga FAM 2018.

Menurut Syahrul Nizam, pemain itu kembali ke Melaka menyertai SAMB FC beraksi dalam saingan Liga M3 musim ini dan diakui memiliki keserasian bersama skuad Hang Tuah kali ini.

“Apapun dia perlu membuktikan sentuhan berbisanya sepanjang sesi latihan dan pramusim sebelum mendapat tempat dalam skuad kendalian jurulatih Zainal Abdin Hassan.

“Semuanya terserah kepada prestasi semasanya kelak dan pemilihan jurulatih serta pembantunya serta strategi yang bakal disusun,”katanya.

Selain Jasmir, skuad Hijau Putih turut mengikat pemain kelahiran Kuala Lumpur , Lee Yong Cheng yang beraksi di posisi pertahanan.

Syahrul berkata, Yong Cheng turut cemerlang membantu SAMB FC bersaing dalam Liga M3 selain pernah menyertai kelab PJ Rangers FC beraksi dalam saingan Liga FAM 2017 sebelum menjadi tonggak Terengganu City FC yang menjuarai Piala Liga FAM 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 8:10 PM
Digital NSTP Subscribe