FARAH raih tiga emas di Sukan Sea Filipina.
FARAH raih tiga emas di Sukan Sea Filipina.
Ferzalfie Fauzi


RATU gimnastik negara, Farah Ann Abd Hadi dan atlet wushu, Loh Choon How masing-masing dinobatkan penerima Anugerah Olimpian Terbaik 2019 malam ini.

Dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-26 itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan hadiah wang tunai RM10,000 dan juga pingat Olimpian.

Farah Ann berjaya membuktikan kehebatannya di Sukan Sea Filipina selepas meraih tiga emas dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai.

Choon How pula berjaya mempamerkan persembahan mantap selepas menjadi atlet pertama meraih emas di Filipina dalam acara Taijiquan, sebelum mengulangi pencapaian sama bagi disiplin Taijijian.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Sukan Sea adalah kayu pengukur kepada kedua-dua atlet berkenaan sehingga membolehkan mereka menerima Anugerah Olimpian.

CHOON How cemerlang dalam acara Taijiquan dan Taijijian di Filipina.
CHOON How cemerlang dalam acara Taijiquan dan Taijijian di Filipina.

“MOM adalah badan yang menerajui pembabitan atlet di sukan temasya, majlis ahli lembaga eksekutif sebulat suara memilih mereka di atas pencapaian terbaik di Sukan Sea baru-baru ini,” katanya.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan walaupun ada atlet lain yang disenarai pendek, namun ia tidak mampu menandingi pencapaian dicatatkan Farah Ann dan Choon How.

Farah Ann juga berada pada prestasi terbaik tahun ini apabila berjaya meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menduduki tempat ke-16 bagi acara akhir individu all-around di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman Oktober lalu.

Yang di-Pertuan Agong turut menerima Anugerah Khas Diraja MOM 2019 di atas pembabitan dalam sukan seperti bola sepak, hoki dan polo.

Trofi berkenaan dibawa ke pentas utama oleh tiga atlet negara yang pernah beraksi di temasya Olimpik iaitu Cheah Soon Kit (badminton), Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Pandelela Rinong.

Sementara itu, Anugerah Wanita dan Sukan MOM pula diraih Tok Puan Zainon Hussein, manakala Trofi IOC pula menjadi milik Perbadanan Stadium Malaysia.

Almarhum Sultan Ahmad Shah (bola sepak), Datuk Sieh Kok Chi (Polo air & MOM), Datuk Roland Wong (badminton), Datuk Seri Panglima Abdul Manap Ibrahim (hoki) dan SA Azman (tenis) berada dalam senarai baru Dewan Kemasyuran MOM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 11:46 PM
Digital NSTP Subscribe