Barisan pemain Kelantan United. FOTO KUFC
Barisan pemain Kelantan United. FOTO KUFC
BERNAMA

KELANTAN United (KUFC) menunggu kelulusan sijil perlesenan kelab dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi melayakkan pasukan itu beraksi pada saingan Liga Perdana musim depan.

Setiausaha Eksekutif KUFC Wan Mohd Zul Ikman berkata, semua dokumen yang melayakkan pasukan itu mendapat sijil perlesenan sudah di hantar kepada FAM bagi penilaian selanjutnya.

"Kami menunggu keputusan dari badan induk itu paling awal pada Januari depan bagi membolehkan kami mengumumkan senarai penuh pemain yang membarisi pasukan musim depan.

"Pada dasarnya selepas pertemuan dengan wakil FAM minggu lalu, kami tiada masalah berikutan tidak menanggung beban hutang yang menjadi antara syarat yang ditetapkan oleh FAM bagi kelulusan perlesenan kelab," katanya.

KUFC menjadi pendatang baharu Liga Perdana selepas muncul juara pada saingan Liga M3 musim ini.

Wan Mohd Zul berkata ketika ini pasukan itu dalam proses melakukan persiapan terhadap barisan pemain bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan liga yang lebih mencabar musim depan.

"Pasukan ketika ini dalam sesi percubaan beberapa pemain import dan pemain tempatan bagi mencari pemain yang mempunyai kualiti yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan pasukan.

"Hampir 60 peratus pemain musim ini dikekalkan termasuk seorang import dari Gambia, Gassama Alfussainey yang bermain di posisi penyerang,” katanya.

Wan Mohd Zul berkata pihaknya turut mengekalkan ketua jurulatih musim ini iaitu Zahasmi Ismail untuk membimbing pasukan bagi menghadapi saingan liga musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 5:52 PM
Kabinet Malaysia 2020