Rashid Sidek (tengah) bersama Pasukan Unggul yang mengungguli Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah.
Rashid Sidek (tengah) bersama Pasukan Unggul yang mengungguli Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah.
Ferzalfie Fauzi


PASUKAN Unggul yang dibimbing bekas beregu lelaki negara, Zakry Latif muncul juara sulung Kejohanan Juara Tangkis: Tun Dr Siti Hasmah di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, hari ini.

Kejayaan itu membolehkan mereka menerima Piala Pusingan dan wang tunai RM20,000 selepas menumpaskan pasukan Satria yang dikendalikan seorang lagi pemain beregu lelaki negara, Koo Kien Keat.

Menurut Zakry, mereka memang meletakkan sasaran untuk muncul juara walaupun pada awal penubuhan pasukan berdepan dengan kesukaran membentuk persefahaman.

Zakry yang sebelum ini bergandingan bersama Fairuzizuan Tazari ketika bergiat aktif sebagai pemain juga menggunakan kelebihan yang ada pada pasukannya iaitu mempunyai tonggak muda berbakat.

Rashid (lima dari kiri) bersama pemain legenda badminton. FOTO Syarafiq Abd Samad
Rashid (lima dari kiri) bersama pemain legenda badminton. FOTO Syarafiq Abd Samad

Sementara itu, Pengarah Program, Rashid Sidek mengakui kejohanan berkenaan mencapai matlamat untuk mencari bakat-bakat baru dalam sukan badminton.

“Terdapat beberapa pemain yang kita rasa mampu diserapkan ke dalam kelab kita (Kelab Badminton Sports Affairs).

“Bagaimanapun, kita tidak ambil dalam jumlah ramai dan hanya memilih yang betul-betul terbaik. Kita lebih terarah kepada pemain berusia 14 hingga 16 tahun. Kita lihat mereka sebelum ini memang mempunyai bakat cuma kurang diberi tumpuan,” katanya.

Juara Tangkis merangkumi lapan pasukan dibimbing lapan legenda dan selain Zakry serta Kien Keat, enam lagi pasukan diterajui Cheah Soon Kit, Foo Kok Keong, Roslin Hashim, Rahman Sidek, Woon Khe Wei dan Ong Ewe Hock.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 9:19 PM