Juni (kanan) dan Nuraisyah layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO MOHD AMIN JALIL
Juni (kanan) dan Nuraisyah layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


DUA pelayar negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali akui teruja selepas mereka berjaya melayakkan diri secara merit ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nuraisyah, 23, dan Juni Karimah, 17, menempah tiket ke temasya berprestij itu selepas mereka menduduki tempat kelima keseluruhan dalam perlumbaan kategori International 470 pada Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia 2019, di Shenzen, China, berakhir 21 Disember lalu.

Berkongsi kejayaan itu, Juni berkata, dia berdepan detik menyedihkan sebaik tiba di Shenzen pada 14 Disember ekoran kematian datuknya berusia 72 tahun di Pokok Sena Kedah sehari menjelang kejohanan berkenaan.

"Saya kehilangan datuk yang meninggal dunia pada hari pertama saya menjalani latihan di Shenzen sebelum kejohanan.

Memang berita itu menyedihkan kerana arwah banyak memberikan dorongan dan semangat kepada saya sejak mula terbabit dalam sukan ini dua tahun lalu.

"Bagaimanapun gandingan saya (Nuraisyah) dan rakan lain serta pegawai dan jurulatih (Mohd Shahir Abd Rahim) sentiasa memberikan kata semangat untuk terus tabah dan fokus kepada perlumbaan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pengumuman kejayaan mereka itu oleh Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, bersempena dengan Kejohanan Perahu Layar KFC-MILO-MSA Terbuka Kebangsaan Kali Ke-36 2019, di Batu 1, Port Dickson, hari ini.

Bagi Nuraisyah pula, dia amat gembira kerana akhirnya berjaya layak ke temasya berkenaan selepas impian yang sama ingin dicapainya tersasar pada kelayakkan Sukan Olimpik 2016, di Rio de Janeiro, Brazil.

"Pada pemilihan kelayakan ke Olimpik empat tahun lalu, saya yang ketika itu bergandingan dengan Norashikin Mohd Sayed dalam kategori sama hanya kurang satu mata untuk layak.

"Bagaimanapun melalui kerja keras dan percubaan kali kedua tahun ini, ia berhasil. Saya amat gembira kerana impian ke Olimpik akhirnya tercapai bersama gandingan baharu (Juni Karimah)," katanya.

"Apa pun kami akan berlatih bersungguh-sungguh bagi meningkatkan lagi prestasi dan berharap dapat melakukan persembahan terbaik serta meraih kedudukan yang baik di Tokyo nanti," kata Nuraisyah yang berasal dari Johor.

Berikutan kejayaan mereka, Malaysia mempunyai empat wakil bagi menggalas cabaran dalam acara perahu layar di Sukan Olimpik Tokyo nanti selepas dua lagi pelayar iaitu Khairulnizam Mohd Affendy dan Nurshazrin Mohd Latiff, sudah menempah tiket lebih awal menerusi kategori laser standard dan laser radial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 4:51 PM