Mikel Arteta. FOTO File Reuters
Mikel Arteta. FOTO File Reuters
Agensi

KETUA jurulatih Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan dia mahu membawa Granit Xhaka ke Manchester City pada 2016 ketika bos baharu kelab itu berbicara mengenai masa depan bekas kapten Gunners di Stadium Emirates.

Xhaka dikaitkan dengan perpindahan dari Arsenal berikutan musim yang bergolak di London, yang menyaksikan pemain tengah itu dilucutkan lilitan kapten ketika di bawah kendalian Unai Emery selepas bertindak marah ketika ditukarkan pada perlawanan Liga Perdana berdepan Crystal Palace pada Oktober lalu.

Selepas dikritik beberapa penyokong Arsenal, bekas bintang Borussia Monchengladbach, Xhaka melihat dirinya dikaitkan dengan pasukan meningkat naik Bundesliga, Hertha Berlin.

Arteta, membayangkan dia tidak mempunyai masalah dengan Xhaka, yang menjadi sasaran perpindahan berpotensi buat Pep Guardiola dan City sebelum perpindahan ke Arsenal tiga tahun lalu.

"Ketika saya berpindah dari Arsenal ke City untuk mula melatih dan kami melihat pada posisi itu, dia adalah antara salah seorang daripada pemain dalam senarai saya." kata Arteta yang meninggalkan City untuk ke Arsenal minggu lalu.

"Ini adalah bagaimana saya menyukainya. Saya gembira apabila Arsenal menandatangani dia yang saya fikir seorang pemain hebat.

"Dia sudah melakukan beberapa perkara yang sangat bagus dan dia tersekat dalam situasi yang sukar di mana saya fikir semakin menjadikannya lebih matang.

"Tapi saya juga kagum dengan bagaimana perhubungan ini bermula kembali semula dan saya fikir penyokong sangat positif mengenainya.

"Jelas sekali walaupun sukar untuk mengubah serta merta situasi daripada bagaimana dia datang kepada yang lebih hebat. Tetapi saya fikir kami berada pada laluan betul bersamanya.

"Saya memberitahu kepadanya sejauh mana saya menyukainya dan apa yang saya harapkan daripadanya." tambah Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 1:15 PM