PEMAIN West Ham, Robert Snodgrass cuba mengatasi penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel di Stadium London. FOTO Reuters
PEMAIN West Ham, Robert Snodgrass cuba mengatasi penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel di Stadium London. FOTO Reuters
AFP

LEICESTER kembali bangkit daripada kekalahan besar di tangan Liverpool pada Boxing Day dengan menewaskan West Ham 2-1 manakala Tottenham gagal menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana selepas seri 2-2 di Norwich, awal pagi tadi.

Leicester yang hanya meraih satu mata daripada tiga aksi terakhir kekal kedua terbaik dalam liga di belakang pendahulu Liverpool selepas menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan.

Brendan Rodgers melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad dibelasah juara Eropah dua hari lalu dengan Jamie Vardy di antara pemain tidak beraksi susulan menyambut kelahiran anak perempuan.

Kelechi Iheanacho dan Demarai Gray membarisi kesebelasan utama dan mereka menjaringkan gol pada kedua-dua babak walaupun penalti Gray pada awal perlawanan diselamatkan Lukasz Fabianski.

Foxes kini 10 mata di belakang Liverpool tetapi beraksi lebih dua perlawanan dan menjarakkan kedudukan ke atas Manchester City dengan empat mata.

Pablo Fornals menyamakan kedudukan buat Hammers sejurus sebelum rehat tetapi mereka hanya satu mata di atas zon penyingkiran selepas mengalami kekalahan ketujuh dalam sembilan perlawanan.

Tottenham mengatasi Wolves berdasarkan perbezaan gol tetapi terlepas peluang memintas Chelsea di tangga keempat selepas kelemahan barisan pertahanan sekali lagi dimanfaatkan kelab pertengahan liga, Norwich.

Everton yang kini dikendalikan Carlo Ancelotti terus mengekalkan momentum selepas menang 2-1 di Newcastle hasil dua jaringan Dominic Calvert-Lewin manakala Southampton seri 1-1 menentang Crystal Palace di St Mary.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 8:26 AM
Digital NSTP Subscribe