Megat Zulkarnain sedia pesilat terbaik. FOTO File NSTP
Iskandar Shah Mohamed


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan mempertaruhkan barisan pesilat terkuat untuk menggalas cabaran negara menghadapi Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-20 di Kuching, Sarawak, Julai depan. 

Selaku tuan rumah, Pesaka turut merangka segala persiapan rapi bagi memastikan penganjuran kejohanan berprestij itu berada pada kelas tersendiri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya akan mengenal pasti skuad silat itu menerusi perbincangan secara menyeluruh bersama kem pengurusan dan kejurulatihan.

"Kita akan menjalankan mesyuarat dengan turut memperincikan laporan berkaitan atlet yang berpotensi menyertai kejohanan penting itu.

"Senarai barisan pesilat itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan tidak dinafikan ada berlaku rombakan bagi memberi peluang kepada atlet lain untuk bersaing," katanya pada sidang media, hari ini.    Turut hadir, Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang meraikan kejayaan kem silat pada Sukan Sea Filipina dan Kejohanan Pencak Silat Asia di Yanji, China, baru-baru ini.  

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain mahu kejohanan yang bakal disertai 70 negara mencapai standard tinggi seperti edisi terdahulu di Singapura.

"Kita mahu memastikan ia berjalan sebaik mungkin apatah lagi Malaysia baru saja diiktiraf sebagai negara yang memiliki hak warisan mutlak seni silat," katanya.  

Beliau turut mengingatkan semua pesilat kebangsaan tidak berasa terlalu selesa dan perlu mengawasi atlet muda tempatan atau luar negara yang sedang meningkat naik. 

Skuad silat membawa pulang tiga pingat emas di Singapura, tahun lalu menerusi juara dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir;  gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid/ Sazzlan Yuga dan Mohamad Hazmi Amzad.  

Pada Sukan Sea Filipina, kem silat menepati sasaran apabila menghadiahkan dua emas dan dua gangsa buat kontinjen negara menerusi Zulfazly Zulfakar dan juga gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid/ Sazzlan Yuga.  Skuad silat menutup musim 2019 dengan kecemerlangan apabila meraih empat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada Kejohanan Asia di Yanji, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 10:24 PM