Solehin (kiri) kutip pengalaman daripada Khairul Fahmi (kanan). FOTO Nazri Abu Bakar
Solehin (kiri) kutip pengalaman daripada Khairul Fahmi (kanan). FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


JURULATIH penjaga gol Melaka United (MU) Mazlan Wahid yakin kubu pasukan berkenaan mampu lebih kebal menerusi kehadiran dua pemain berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan Norazlan Razali.

Malah penjaga gol ketiga Ahmad Solehin Mamat juga mampu memberi saingan kepada dua rakannya itu untuk membolehkan motivasi tinggi sentiasa menjadi asas kepada permainan mereka.

Katanya, dia juga sedikit lega dengan pilihan yang ada berdasarkan pengalaman luas dan prestasi semasa mereka ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang dilalui setakat ini.

"Kali ini saya akui boleh menarik nafas lega untuk membuat pilihan sesuai pada setiap perlawanan berbanding musim lalu yang banyak bergantung kepada Khairul Fahmi.

"Sementara Ahmad Solehin mampu belajar sesuatu daripada Khairul Fahmi dan Norazlan sekali gus membina persaingan sihat," katanya.

Mazlan yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Sarawak dan Melaka bagaimanapun menganggap tiga anak buahnya itu tetap memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Justeru dia akan menilai prestasi semasa, tahap kecergasan selain kesediaan mental dan fizikal tinggi sebelum salah seorang daripada mereka diturunkan dalam perlawanan nanti.

Bagaimanapun, Mazlan turut mengharapkan benteng pertahanan juga lebih mantap untuk menutup setiap ruang percubaan awal lawan.

Sehubungan itu, persefahaman jitu antara pemain tengah, pertahanan dan penjaga gawang amat penting untuk mengelak jaring pasukan dibolosi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 8:59 PM